Ainan Tasneem Semakin Menyerlah

Posted by mije Sabtu, 18 Februari 2012 0 komentar
ARTIS baru muncul di laman Youtube, ramai bertemankan gitar termasuklah pendatang baru dalam arena seni suara, Ainan Tasneem Redzuan, 20. Dia yang suka menyanyi sejak kecil gemar berkaraoke tetapi lama kelamaan berasa bosan kerana setiap kali mahu menyanyi, dia terpaksa memasang mesin itu terlebih dahulu.

Dia mahu menyanyi dalam suasana yang lebih santai tanpa bergantung kepada set karaoke itu, maka terfikir olehnya untuk belajar bermain gitar kerana alat muzik itu murah dan senang dipelajari. Apabila sudah pandai bermain gitar, Tasneem langsung menjadikannya sebagai rakan karib. Apabila terasa mahu menyanyi, terus dia mencapai gitarnya.
“Saya bermain gitar tidak terikut-ikut dengan gaya sesiapa tetapi saya memilih alat muzik ini kerana ia murah, senang dibawa dan mudah dipelajari. Saya mengambil inisiatif sendiri belajar secara asas bermain gitar melalui laman Youtube.

“Melalui panduan yang didapati daripada laman itu, saya akhirnya mahir bermain gitar dengan cord asas. Sejak itu saya mula menyanyikan lagu yang pernah dipopularkan oleh artis lain dan muat turun rakaman video melalui laman Facebook (FB) milik saya.


“Lagu pertama yang saya muat turun adalah lagu dipopularkan oleh kumpulan Paramore berjudul The Only Exception. Sejak itu saya mula muat turun beberapa lagu `cover version’ yang lain dan tanpa saya duga, lagu dalam FB saya mendapat perhatian dan ada kenalan mencadangkan supaya saya muat turun lagu ciptaan saya sendiri.


“Demi menyahut cabaran kawan-kawan, terciptalah lagu Aku Suka Dia yang dimuat turun kira-kira setahun yang lalu dalam FB saya. Lagu itu berjaya mengundang minat seseorang untuk muat turun semula lagu itu ke laman Youtube yang kemudian mendapat perhatian dan ditonton sebanyak 750,000 kali sehingga hari ini.

“Bagaimanapun, saya cuma menyedari lagu itu ditonton ramai melalui laman Youtube selepas diberitahu rakan sekolah,” katanya.

Meskipun Tasneem semakin dikenali ramai, dia yang kini menyambung pengajian di Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dalam jurusan Sarjana Kejuruteraan Bioproses, tidak mahu terlalu serius dalam bidang nyanyian.

“Keluarga saya tahu saya suka menyanyi tetapi mereka tidak menggalakkan saya menjadikannya sebagai keutamaan dalam hidup saya.

“Saya sendiri tiada halangan dengan permintaan keluarga kerana saya bercita-cita mahu menjadi pensyarah.

Pun begitu kerana bakat yang ada padanya, Music Valley Production (MVM) tetap mencuba nasib menyuntingnya menjadi artis mereka. Dua kali mereka menghantar SMS kepadanya untuk menyatakan hasrat itu dan selepas berbincang dengan keluarganya, barulah Tasneem setuju untuk berunding lebih mendalam dengan MVM.

“Disember lalu, barulah saya memberikan persetujuan dengan MVM untuk bernaung di bawah label mereka sebagai komposer dan penyanyi tetapi dengan syarat saya hanya boleh membabitkan diri dalam urusan rakaman dan promosi pada cuti semester pengajian saja.

“Saya hargai kesungguhan mereka menghargai bakat seni yang ada tetapi saya tidak boleh abaikan pelajaran,” katanya.

Rakaman single pertamanya Aku Suka Dia sudah pun siap pada pertengahan Januari lalu yang muziknya disusun semula oleh Eddie Marzuki dan Lan Laga selaku penyelaras vokal. Lagu itu mula diputarkan di stesen radio pada Februari ini.

“Semuanya berlaku terlalu pantas tetapi saya akan tetap meneruskan cita-cita untuk meneruskan pengajian pada peringkat lebih tinggi sehingga ke peringkat ijazah sarjana,” katanya.





p/s : Sejak tahun 2010 mijie ikuti perkembangannya dalam Youtube..Best jugak. ;)
Adsense Content. bottom of article

0 komentar:

Posting Komentar